Sejarah bendera Iraq Bendera_Iraq

1921–1959

1921-1959 (nisbah: 1:2)

Bendera pertama Iraq diperkenalkan pada tahun 1921 sempena tertubuhnya sebuah negara Iraq. Ia merupakan bendera yang terdiri daripada tiga jalur mendatar berwarna hitam-putih-hijau dengan trapezium merah di bahagian tiang. Dua butir bintang putih berkaki tujuh melambangkan 14 buah provinsi kerajaan Iraq. Warna yang dipilih untuk bendera ini diambil dari warna panji-panji ketua keluarga Hashimiyah yang mengetuai Pemberontakan Arab. Keluarga ini juga bertanggungjawab memberikan Iraq rajanya yang pertama. Rekabentuk bendera ini serupa dengan bendera Jordan, juga sebuah negara yang diketuai oleh raja dari keluarga yang sama. Bendera ini masih digunakan oleh golongan mereka yang berfahaman monarkis.

1959–1963

1959-1963 (nisbah: 1:2)

Revolusi tahun 1958 yang diketuai oleh Abdul Karim Qassim telah menggulingkan raja pada masa itu. Oleh itu, sebuah bendera baru telah diperkenalkan. Bendera baru ini berjalur tiga tegak dengan warna hitam, putih dan hijau. Di tengah jalur putih terdapat sebutir bintang merah berkaki lapan dan di tengah bintang sebuah bulatan warna kuning.

1963–1991

1963-1991 (nisbah: 2:3)

Selepas kerajaan Qassim digulingkan, sebuah bendera yang baru diperkenalkan pada Julai 1963. Bendera ini mempunyai tiga jalur, merah, putih dan hitam, dengan tiga butir bintang hijau di atas jalur putih. Bintang tiga ini melambangkan kesatuan yang diura-urakan oleh Iraq dengan Mesir dan Syria di mana keduanya memiliki dua bintang di tengah-tengahnya. Jika kesatuan ini tidak pecah, mereka mahu menggantinya menjadi tiga.

1991–2004

1991-2004 (nisbah: 2:3)

Pada 14 Januari 1991, bendera ditukar lagi. Makna tiga bintang diubah kepada moto yang dipegang oleh parti pemerintah Ba'ath iaitu, Wihda (Kesatuan), Hurriyah (Kebebasan), Ishtirrakiyah (Sosialisme). Sebelum bermulanya Perang Teluk, Saddam Hussein telah menambah kekata "Allahu Akbar" di jalur warna putih dan ramai telah menganggap bahawa dia membuat demikian untuk mendapatkan lebih banyak sokongan daripada dunia Islam. Ada yang mengatakan bahawa tulisan kekata "Allahu Akbar" ini adalah dari Saddam Hussein sendiri.

Bendera ini masih digunakan walaupun Saddam Hussein telah diguling tetapi dengan tulisan skrip yang berlainan (sila lihat atas). Ramai yang menduga bahawa bendera ini akan menjadi bendera rasmi Iraq dengan tertubuhnya sebuah Perlembagaan Iraq yang baru tidak lama lagi.

Kontroversi bendera 2004

Bendera yang dicadangkan, 2004 (tidak diteruskan)

Pada 26 April 2004 Majlis Interim Kerajaan Iraq mengumumkan perekaan sebuah bendera baru untuk menandakan era baru pos-Saddam. Majlis ini menyatakan bahawa dalam sebuah pertandingan yang dianggotai 30 orang, ia telah memilih rekaan seorang artis dan arkitek terkenal Iraq, Rifat al-Chaderchi (atau Rifat Chadirji) .

Bendera ini berwarna putih, dengan garisan selari biru-kuning-biru di bahagian bawah. Jalur biru menandakan sungai-sungai Tigris dan Euphrates. Kuning melambangkan kaum minoriti Kurdi di Iraq. Di tengah bidang putih terdapat sebuah bulan sabit berwarna biru terang, yang melambangkan Islam.

Untuk lebih memahami kontroversi ini, bandingkan rekabentuk bendera negara-negara jiran Iraq dan bendera-bendera lama Iraq dengan bendera yang dicadangkan.

Rekabentuk ini berpisah dari rekabentuk bendera-bendera Arab yang lain dari segi warna yang digunakan. Warna hijau, hitam dan merah sering dikaitkan dengan warna gerakan nasionalisme se-Arab. Hijau dan hitam khususnya melambangkan Islam dan merah untuk semangat yang disebutkan tadi. Bulan sabit sering di dalam warna hijau atau merah.

Oleh itu, bendera baru yang berbidang putih ini menimbulkan pelbagai kontroversi kerana rupanya seakan bendera Israel, sebuah negara musuh Iraq. Kritikan yang lain termasuk tiadanya warna-warna se-Arab yang sering terpapar di bendera-bendera Arab yang lain dan juga hilangnya kalimah "Allahu Akbar" dari bendera baru itu.

Bendera baru ini telah dibakar oleh para pemberontak di Fallujah pada 27 April 2004, sehari sebelum ia dijadikan bendera rasmi negara Iraq yang baru.

Disebabkan kontroversi ini, cadangan untuk menjadikan bendera bulan sabit biru ini sebagai bendera yang baru telah diketepikan.